August 25, 2020
PERUTUSAN OGOS PEMANGKU PENGARAH URUSAN SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdullillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat kita menyambut dan meraikan sekali lagi Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang ke-63 pada tahun 2020 yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’. Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan sebagai selaku Pemangku Pengarah Urusan untuk mengucapkan “Selamat Hari Kebangsaan” kepada semua warga kerja TCI. Seterusnya, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada En. Mahathir Nor bin Ismail atas perlantikan sebagai Pengurus Besar Pembuatan dan Perkhidmatan di Jabatan Anak Syarikat TNB (SMD). Jutaan terima kasih diucapkan kepada En. Mahathir kerana sudi meluangkan masa melawat TCI semalam, 18 Ogos 2020.
Selain daripada Ulang Tahun Kemerdekaan Negara, Tenaga Cable Industries Sdn. Bhd. (TCI) turut menyambut ulang tahun yang ke-63 tahun yang dahulunya dikenali sebagai Malayan Cable Berhad yang merupakan syarikat pengeluar kabel telekomunikasi pertama di Malaysia. Secara rasminya, TCI ditubuhkan pada Disember 1957 sebagai Malayan Cable Berhad ketika itu diketuai oleh Mr. R.L Leach sebagai Pengarah Urusan sebelum ditukarkan kepada Uniphone Cable pada 15 November 1989. Uniphone Cable kekal dari 15 November 1989 sehingga 19 Julai 1999 sebelum diberi penjenamaan semula kepada Tenaga Cable Industries Sdn. Bhd. pada 19 Julai 1999 selepas diambil alih oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pengarah Urusan pada ketika itu adalah Tn. Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer. Enam dekad berlalu, kini TCI telah menempuhi pelbagai rintangan dan ranjau untuk kekal beroperasi sehingga ke hari ini. TCI juga telah melalui pelbagai proses penstrukturan organisasi dan penjenamaan semula agar terus relevan dengan industri dan pasaran tempatan mahupun global.
Berkaitan perkembangan terkini TCI, pada minggu lepas, TCI baru sahaja menyelesaikan Audit ABMS ISO 37001:2016. Audit ini berjalan dengan lancar dan pensijilan dijangka pada bulan September 2020. Terima kasih atas usaha semua warga TCI dalam menjayakan Audit Pensijilan ABMS ini. Prestasi syarikat pada bulan Jun dan Julai menunjukkan peningkatan yang positif. Diharapkan usaha ini dapat diteruskan agar keputusan syarikat akan sentiasa positif sehingga berakhirnya tahun kewangan 2020.
Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada seluruh warga TCI di atas sokongan dan kepercayaan serta berharap hubungan yang kukuh ini dapat diteruskan bagi merealisasikan perancangan membangunkan TCI pada hari ini dan masa hadapan.
Sekian.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
#malaysiaprihatin #ulangtahunkemerdekaan63 #kitajagakita #kekalselamat
FAKHRURRAZI MOHAMAD Pemangku Pengarah Urusan
BACK TO NEWS LIST